KUCHING: Aplikasi pembayaran digital S Pay Global sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay berjaya mendaftarkan sejumlah 590,290 pengguna dan 85,445 peniaga di seluruh negeri.

Dalam satu kenyataan, Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) Dr Zaidi Razak  memaklumkan aplikasi e-dompet itu telah menjalankan transaksi berjumlah RM1.8 billion sejak dilancarkan pada tahun 2017.

Tambahnya, S Pay Global juga telah bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan perkhidmatan transaksi secara dalam talian kepada  penduduk di kawasan pedalaman Sarawak melalui agen BSN yang dilantik.

“Pengguna aplikasi ini yang berada di pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai akses kepada institusi kewangan boleh menerima dan menyalurkan duit simpanan kepada ahli keluarga, sahabat, dan rakan perniagaan melalui e-dompet melibatkan 236 agen BSN di seluruh Sarawak.

“Penggunaan e-dompet ini meningkat secara mendadak sepanjang pandemik COVID-19 di mana rata-rata peniaga dan orang awam lebih gemar untuk tidak menggunakan tunai yang menyumbangkan kepada penglibatkan peniaga tempatan,” katanya pada khamis.

Sementara itu Zaidi percaya perkhidmatan yang ditawarkan S Pay Global telah diperluaskan kepada beberapa bentuk penyaluran termasuk bantuan kebajikan daripada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah berupaya untuk menyalurkan beberapa bantuan kewangan melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membantu rakyat Sarawak semasa pandemik.

“Aplikasi ini secara langsung telah memperkasakan agenda ekonomi digital di Sarawak dan menjadi salah satu elemen yang menjadi pendorong kepada penubuhan SMA pada 2018 sekaligus melaksanakan polisi digitalisasi di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, sejak ditubuhkan empat tahun lalu, perkhidmatan yang diperkenalkan melalui SMA dirangka dengan sistematik dan diintegrasikan bersama beberapa agensi kerajaan negeri.

Antaranya inisiatif yang dijana melalui SMA ialah aplikasi Enter Sarawak, borang pengisytiharaan kesihatan elektronik (eHDF), dan aplikasi i-Alert, yang dibangunkan dengan kolaborasi bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sarawak Information System Sdn Bhd (SAINS).

“SMA akan meneruskan usaha untuk menambah baik ekosistem digital untuk memenuhi permintaan pemegang taruh dan mengangkat kapasiti serta keupayaan ekonomi Sarawak dengan lebih progresif demi mencapai negeri maju menjelang 2030.

“Ini termasuklah beberapa inisiatif seperti menyediakan liputan internet sementara antaranya Very Smal Aperture Terminal (VSAT), dan Jaringan Broadband Sarawak (MySRBN) di bawah inisiatif SALURAN antara persekutuan dan kerajaan negeri," jelasnya.